THANK YOU

Monday, January 30, 2012

Kenapa Saya Suka Awak?

Assalamualaikum dan Salam sejahtera.

Amboi tajuk, bukan main. Entry baru ke?. Bukanlah. Nak cerita pasal 'si dia' ea?. Salah juga. Kenapa Saya Suka Awak? agak-agak korang apa yang sedang bermain di fikiran nani sekarang?

Ramai orang tanya kenapa pilih nama pena Naniey TJ ? kenapa tak pilih nama yang lebih sedap? lebih menarik? lebih unik?. Naniey tanya balik? apa masalahnya dengan nama tu? tak cukup unik? tak cukup menarik ke?. isk nani ni, ingatkan nak cerita apa, rupanya pasal nama pena je.

Ya. hanya kerana nama pena, saya buatkan entry ini. Dari mana asalanya nama Naniey TJ? Ia adalah Ilham dari seorang sahabat baik saya. kawan-kawan memang panggil saya, Naniey. TJ? kata sahabat saya, ia adalah tambahan untuk nama bapa saya, Tajul. Kali pertama mendengarnya saya rasa agak pelik. namun entah kenapa nama itu sentiasa bermain di minda sehinggalah saya merasakan nama itu cukup unik. Lalu saya memutuskan untuk menggunakan ia di mana-mana sahaja. tetapi TJ di belakang itu sudah saya ubah suaikan maknanya sedikit. Ia membuatkan nama ini cukup bermakna untuk saya. Kerana TJ itu melambangkan dua insan yang membuatkan saya berdiri pada hari ini.



Kata orang, apa yang ada pada nama pena? semata-mata nama gelaran sahaja. bagi saya tidak. nama itu mencerminkan siapa saya. Bagaimana saya mendefinisikan nama itu mengikut pandangan saya sendiri.Untuk saya, Naniey itu melambangkan kemesraan dan TJ itu adalah penghormatan. Pernah ke anda terfikir untuk malambangkan nama anda sendiri?

Kenapa saya Suka nama Naniey TJ? Kerana Naniey TJ itu adalah nama yang penuh makna. biarlah orang kata ia tidak cantik, tidak unik atau tidak menarik sekalipun, tapi saya tetap suka pada 'awak'.


Naniey TJ & Lovely Family

p/s : Harap anda juga menyukai nama gelaran anda..... setiap nama ada makna.

Thursday, January 26, 2012

Cinta Di Penghujung Hati 2

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dua tiga hari lepas nani asyik belek cerpen-cerpen lama yang ada dalam simpanan. dan terjumpa cerpen ni Suratan Pilu (boleh klik kalau nak baca). rupanya cerpen ni ada siri kedua. cuma tak siap taip. dua tiga hari lepas mood sedih, so, bolehlah meneruskan perjuangan. (p/s : jangan tanya MBML mana?. sebab otak nani belum stanby nak sambung MBML) Cerpen ni dah nani tukarkan tajuknya kepada
CINTA DI PENGHUJUNG HATI. dan Nani telah poskan ke Warna Kaseh (sila Klik untuk usha). jom layan siri 2.



Aku membuka emailku. Banyak email dari Maisara. Mesti dia masih tertanya-tanya mengapa. Maisara aku tak sanggup untuk melukaimu. Kau dan aku sama saja. Kita terluka kerana seorang lelaki yang pentingkan diri. Sudah setahun aku tidak mengendahkan email darimu. Apa khabar agaknya kau sekarang. Terketar-ketar tanganku ingin membuka email darinya.

Sahabatku,

Kenapa kau pergi begitu saja? Bukankah kau sudah berjanji ingin menemaniku ke rumah suamiku untuk majlis sambut menantu. Niza apa yang dah terjadi sampai kau tega tinggalkan aku. Rindu padamu masih belum reda lagi. Harap kita dapat berjumpa lagi

Maisara

Maafkan aku Sara. Aku tak sanggup mengadap wajah kedua ibu bapa Alif. Mengapa mereka tidak menghalang Alif sedangkan mereka tahu aku adalah menantu mereka. Tetikus kutekan lagi ke email seterusnya dan seterusnya hinggalah coretan terakhir yang ku terima.

Niza, mak selalu Tanya pasal kau. Aku sendiri sudah tidak tahu apa yang perlu aku katakana padanya. Aku ada banyak perkara nak bagitahu kau. Niza, tolonglah pulang. Mungkin inilah kali terakhir kita berjumpa.

Aku keliru. Mengapa Maisara berkata begitu. Adakah dia sengaja ingin memancing simpati dariku. Tidakkah kau bahagia sekarang.

Aku pulang jua ke Malaysia. Namun kepulanganku, kurahsiakan dari pengetahuan sesiapa pun. Syarikat papa mengalami masalah yang teruk. Mahu atau tidak aku harus pulang untuk selesaikan masalah. Tidak sampai hati melihat pengusahaan yang papa bina hancur begitu saja. Sudah lama rasanya syarikat itu berada dibawah jagaan Encik Syukri, orang kepercayaan papa. Melaka. Akhirnya aku pulang ke tanah kelahiranku. Dah banyak perubahan yang berlaku disini. Aku berjalan sendirian di Mahkota Parade. Tidak jauh dari tempat penginapanku. Aku tidak mahu pulang ke banglo milik papa. Di situ terlalu banyak kenagan. Ramai betul orang dihari minggu begini. Sedang enak aku menjamu mata, tiba-tiba.....

“Niza” aku berpaling. Wajah wanita muda didepan ku amati. Macam kenal.

“Sufi?” soalku. Dia angguk.

“Lamanya tak jumpa kau. Kau apa khabar?”

“Alhamdulillah sihat.”

“kau balik mesti nak lawat Sara kan. Sara tu asyik sebut nama kau je.” Berkerut dahiku mendengar bicara Sufi.

“Kenapa dengan Sara?” Sufi terdiam

“kau tak tahu?” aku geleng.

“Sara sakit. Baru dua hari lepas aku jenguk dia. Makin uzur dia sekarang”

“sakit apa?”

“Kanser paru-paru” hampir saja aku rebah saat berita itu dikhabarkan padaku. Astagfirullah hal azim. Ya Allah selamatkanlah sahabatku.

Luluh hati aku melihat wajah Maisara yang pucat. Terbaring di atas katil hospital. Langsung tidak bermaya. Tidak sama seperti Maisara yang aku kenali dahulu. Tangan maisara ku capai dan kucium lembut. Setitis demi setitis mutiara gugur dari kelopak mata.

“Niza” perlahan sungguh suara itu. Matanya tadi yang terpejam sudah celik.

“Sara. Maafkan aku” Maisara geleng. Terbatuk-batuk seketika.

“Kau tak salah apa-apa”

“Aku tak tahu kau sakit. Kenapa kau tak beritahu aku Sara?” makin lebat airmata menuruni pipi.

“Hei, kenapa menangis ni? Aku belum matilah” Maisara mengukir senyuman. Airmata di pipi di sapu. Tangan Maisara sejuk.

“Akhirnya aku dapat juga tengok muka kau untuk kali terakhir. Mungkin lepas ni aku dah tak ada peluang lagi. Alhamdulillah Ya Allah”

“jangan cakap macam tu Sara. Aku perlukan kau. Aku akan buat apa saja demi kau. Aku promise. Apa saja asalkan kau tak tinggalkan aku” aku lupa seketika bahawa dihadapanku ini adalah bekas maduku. Luka itu ku padamkan seketika. Hati sedih melihat keadaannya.

“Dah tak ada apa yang boleh tolong aku. Hanya Allah yang lebih tahu segalanya.” Serak suara Maisara.

“boleh kau janji sesuatu dengan aku?” Maisara bersuara payah. Pantas saja aku angguk. Sudah tidak hiraukan janji apa yang perlu aku tunaikan.

“Abang, Sara minta maaf sebab tak bagitahu abang perkara ni. Tapi izinkan Sara minta sesuatu dari abang” payah benar suara Maisara. Aku hanya diam di suatu sudut ditemani Mak Cik Timah. Hatiku turut berat.

“Apa dia, Sayang?” luluh hatiku mendengar suara Alif yang begitu lembut. Ketenangan diwajah itu nampak makin tercalar.

“Abang kembalilah pada Niza” pinta Maisara.

“dari mana….” Soalan itu tersekat dikerongkong Alif bila jari-jemari Maisara singgah ke tangan Alif.

“Maaf, Sara terjumpa kad kahwin abang. Abang janjilah pada Sara” pinta Maisara. Lama Alif diam. Kemudian dia angguk. Maisara tersenyum. Aku tertunduk. Aku sudah berjanji.

“Niza” panggilnya. Aku menghampiri.

“Maafkan aku kerana mengambil hak kau.” Aku geleng.

“bukan salah kau. Kau janganlah banyak bercakap. Kau rehatlah” pintaku. Tak sanggup melihat Maisara yang tercungap-cungap.

“aku dah tak ada masa. Tolong jaga anak aku macam anak kau sendiri. janji pada aku kau akan jaga anak aku. Kau akan kembali pada Alif. Janji?” mutiara jernih tidak putus-putus mengalir dari mata Maisara. Sungguh hati aku yang dah berparut terluka kembali saat ini.

“Sara.” Aku tersepit antara janji dan memori. Haruskah aku mengulangi segala kenangan yang melukai sekeping hatiku?

“aku rayu” potong Maisara

“tolong Sara, Niza. Mak rayu. Kesiankan dia nak” ucap mak Cik Timah. Sungguh aku tidak sampai hati melihat Maisara begitu. Mutiara jernih tak henti-henti mengalir dari kelopak mataku

“aku janji” putusku. Maisara senyum.

“maafkan aku……..” nafas Maisara mula tidak teratur. Turun naik dadanya.

“panggilkan doctor” arah Alif kuat.

“Sara” tubuhnya ku goyangkan. Sesaat kemudian terasa tubuhku ditolak kuat. Alif memeluk erat Maisara. Menangis semahunya. Seperti tidak merelakan Maisara pergi. Aku turut merembeskan airmata duka.

“Sara!!!!”

Tanah perkuburan kelihatan sayu. Tuhanku rahmatilah sahabatku. Tempatkanlah dia dikalangan orang-orang yang beriman. Doaku. Sara aku akan jaga anak kau. Ku pandang bayi yang berada dalam kendonganku. Mulusnya wajah itu. Persis wajah Maisara. Puteriku, ibu akan menjaga sayang seperti mama sayang sendiri. Tekadku.

“Alif. Mari balik nak.” Ajak Datin Maria, ibunya. Lambat langkah Alif. Sukar benar langkahnya meninggalkan kubur Maisara. Besarnya cinta dia padamu Sara. Kau beruntung. Beruntung sangat. Bisik hatiku.

“mari Niza. Kita balik” aku hanya menurut langkah Alif. Setitis airmataku gugur. Bukan kerana aku terluka dengan kesetiaan Alif pada Maisara. Tapi aku rasa terkilan kerana saat waktu pertemuan kita yang terlalu singkat. Damailah kau di sana, Sahabatku.

Hari ini hari bersejarah untuk aku dan Alif. Hari dimana aku kembali bergelar isteri.

Aku hanya merenung jauh kepekatan malam. Malam semakin larut. Tapi bayangan wajah Alif masih tidak kelihatan. Sewaktu makan malam juga dia tiada.

“assalamualaikum” aku tersentak.

“walaikumsalam” balasku.

“tak tidur lagi?” aku geleng. Apa yang harus aku lakukan.

“Ilya mana?” soalku

“Dah tidur” suasana sepi seketika

“Abang minta maaf.”

“Niza tak nak dengar lagi perkataan maaf tu. Niza buat semua ni untuk Sara. Untuk ilya. Bukan sebab abang. Abang tak perlu salah sangka” balasku

“Abang tak nak Niza buat semua ni untuk sesiapa. Abang ada untuk Ilya. Niza tak perlu rasa terbeban dengan permintaan Sara. Kalau Niza rasa tak selesa beritahu abang, bila-bila masa abang boleh bebaskan Niza” aku terlopong seketika. Setelah setahun tidak berjumpa, itu yang lahir dari bibirnya. Sungguh tidak ku duga. Alif lantas bergerak ke kamar.

“Siapa saya pada awak Alif?” soalku terluka.

“Abang tak pernah menyesal menikahi Niza dulu dan abang juga tidak pernah menyesal melepaskan Niza. Tapi sekarang abang rasa menyesal rujuk semula dengan Niza. Abang seperti pentingkan diri.” Ucapnya.

“apa maksud abang?”

“Abang cintakan Sara. Selamanya abang akan cintakan Sara” Alif pandangku. Mataku sudah di takungi air jernih. Terluka lagi. Di malam pengantin aku dilukai seteruk ini.

“Abang tak perlu bertindak sekejam ini dengan meletakkan maruah Niza di tapak kaki. Niza tak pernah paksa abang mencintai Niza. Niza tak perlukan cinta abang untuk hidup bersama abang. Cukuplah rasa kasih Sara pada Niza.” Terus aku berbaring dikatil. Berbaring membelakanginya. Seketika kemudian bilik menjadi gelap dan aku sedar Alif tidur di sofa malam itu. Adakah aku telah menggores hatinya?. Tetapi hati aku juga telah tergores. Tidurku diulit air mata. Entah bila kan hentinya.

“Ilya, rindukan mama ye?” soalku pada anak kecil itu yang dari tadi asyik merengek. Puas di pujuk namun segalanya sia-sia.

“Ilya tahu tak, Allah sayangkan mama, sebab tu dia ambil mama dari Ilya. Tapi Ilya jangan sedih ye saying. Sebab ibu ada untuk jaga Ilya. Ibu akan gantikan tempat mama untuk besarkan Ilya” ucapku padanya. Mengharapkan anak itu akan mengerti.

“Tak ada sesiapa yang boleh gantikan tempat sara sebagai ibu Ilya.” Aku tersentap. Alif memandangku tajam. Lantas Ilya di kendonganku diambil dan dia menghilang entah ke mana. Besarnya pengorbanan yang kau minta dari aku Sara. Kenapa Alif bertindak sebegitu. Tidak fahamkah dia kelukaan di hatiku Sara. Aku bukan sesiapa padanya. Kau adalah cinta hatinya, kenapa kau perlu tinggalkan kami, Sara?.

Tenangnya suasana dinihari. Sejuknya. Aku gosok kedua belah tanganku. Memandang jauh ke hadapan menunggu sang mentari terbit tinggi. Hampir 6 bulan aku di sini. Menjadi suri di hati insane yang tidak sudi. Menjadi ibu pada bayi yang tidak mengerti. Menghitung luka yang tidak terperi., sampai bila? Aku sendiri tidak pasti. Namun apakah aku harus noktahkan episode ini di sini bersama janjiku pada Sara. Sara, aku tidak mampu lagi menanggung bebanan perasaan ini. Apakah aku perlu terus di sini? Aku terus berjalan di taman mini itu. Langkahku terhenti di hadapan bangku batu. Tubuh yang membelakangiku, ku pandang lama. Namun sebentar kemudian dia berpaling bersama senyuman.

“Mari” ucapnya. Lembut. Lain benar ucapannya. Aku menurut melabuhkan punggung disebelahnya. Perlahan aku rasa tangan Alif memaut bahuku.

“sejuk?” soalnya. Aku angguk.

“Abang rindu” ucapnya. Aku terkelu. Rindukan aku?. Adakah benar?.

“Sara rindu abang tak?” soalnya. Kali itu pantas saja aku bangun. Rupanya dia sedang membayangkan Maisara pada jasadku. Sungguh kejam.

“Saya Niza!. Bukan Sara”

“Maaf. Abang......” tergagap-gagap katanya.

“Cukuplah abang. Sampai bila abang nak dera Niza macam ni? Sampai bila?” marahku. Dia menunduk.

“Abang boleh marahkan Niza. Abang boleh kata apa sahaja pada Niza. Niza tak kisah. Tapi abang jangan samakan Niza dengan Sara. Niza adalah Niza. Niza bukan Sara. Abang tahu tak betapa sakitnya hati Niza setiap kali abang sebut nama Sara depan Niza. Abang tak hormat pada Niza. Sampai bila abang nak hidup dengan membayangkan sara pada diri Niza?” Hamburku. Sabarku benar-benar hilang. Benarlah kata orang, cinta boleh memutuskan tali persahabatan. Cemburu boleh membakar rasa sayang. Sungguh aku cemburu. Cemburu kerana dia hanya mencintai Sara.

“Abang dah katakan dahulu, kalau niza tak sanggup, cakap saja. Abang boleh....”

“stopped!!. Niza tak pernah minta perkara itu. Abang tahu kenapa Niza terima abang balik?” Alif membatu.

“sebab Niza cintakan abang. Niza nak hidup dengan abang. Niza nak mulakan hidup baru bersama abang. Boleh tak abang faham hati dan perasaan Niza untuk kali ini?. Niza nak abang bagi peluang untuk kita bina hidup kita, abang, Niza dan Ilya. Niza tak halang abang nak ingat pada Sara. Tapi tolong abang hormat pada perasaan Niza. Niza ni manusia yang ada rasa cemburu, yang ada rasa sedih. Tolonglah” kali ini mutiara jernih mengalir perlahan dari kelopak mata. Nyilu rasa hati.

“Abang hanya cintakan Sara. Niza patut bersyukur sebab Sara, Niza ada kat sini” ucapnya menentang pandanganku yang kabur dek airmata

“Kalau bukan kerana Sara, tak mungkin Niza boleh jadi isteri abang semula. Tak perlu Niza nak cemburu. Sebab antara Niza dan abang bukanlah sesiapa. Anggap saja abang tak pernah wujud” dia ingin berlalu.

“Cinta bukan untuk diungkapkan saja, bang. Abang tidak cintakan Sara, kan?” soalku. Alif terpinga-pinga.

“Abang tak pernha cintakan Sara. Niza adalah amanah Sara kepada abang. Sebagai isteri yang akan sentiasa menjaga abang, menenangkan jiwa dan raga abang bila dia sudah tiada. Sara dah buat pengorbanan yang besar untuk abang. Tapi abang langsung tidak menghargainya. Ini ke yang abang katakan cinta?.” Alif memandangku tajam. Seolah member isyarat agar aku diam

“Niza dah nampak siapa sebenarnya abang. Abang adalah lelaki pengecut. Takut melihat ke hadapan. Abang adalah lelaki yang sunyi dan hidup dalam bayangan memori. Kesian Sara dapat suami macam aban....” pangggg!!! Pipi terasa perit.

“sekali lagi Niza buka mulut, abang tak akan teragak-agak untuk lepaskan Niza” ucapnya terus berlalu pergi. Aku tersedu di situ. Tuhan, kenapa terlalu sukar untuk aku mendapatkan bahagia.

bersambung....

p/s : IFFAH AFEEFAH, aku dah pandai buat link.... senangnya..... (poyo la ko naniey TJ) buat semua, enjoy k

Wednesday, January 25, 2012

REZEKI TUHAN ADA DI MANA-MANA


Assalamualaikum w.b.t

Lama dah rasanya tak ada entry kan. Maaf nani sibuk berfikir sampaikan tak sempat nak fikirkan entry berikutnya. Hari ni nani nak cerita sedikitlah apa yang terjadi pada nani beberapa minggu ni.. Walaupun korang tak nak tahu @ tak tanya sekalipun, nani tetap nak cerita. Siapa lagi yang dapat nani ceritakan kisah ini kalau bukan kepada pembaca-pembaca di sini. Betul tak?

Lebih kurang 2 minggu yang lalu nani telah menerima perjanjian daripada penerbit untuk menerbitkan karya nani. Apa lagi kalau bukan CINTA DARMIA. Well, waktu tu rasa teruja sangat walaupun perjanjian itu sampai ke rumah,Terengganu (waktu tu nani di melaka). Tapi keterujaan itu terpudar sedikit demi sedikit apabila mendengar pendapat ibu bapa, kawan-kawan, saudara-mara dan pensyarah. Kena selidik ini, kena tanya itu, kenapa begini dan kenapa begitu. Sangat tension bila memikirkan semua kemungkinan. atas rasa ingin tahu, nani mesej pihak penerbit untuk tanya sendiri setiap kemusykilan. Tapi tiap kali tanya timbul saja rasa ingin tahu lagi dan lagi. Mungkin nani ni adalah seorang manusia yang suka mendengar kata orang lain. (kena berusaha ada pendirian sendiri) soalan demi soalan nani ajukan untuk puaskan hati.

Sedar tak sedar dah seminggu lebih nani berfikir. Hampir bulat hati mengatakan ya. Namun masih ada sedikit rasa takut dan ragu. Tapi mengenangkan nani di tahun akhir pengajian, banyak perkara yang perlu nani fokuskan. Nak cari penerbit bukan senang. Lagipun, bukan mudah nak tarik perhatian penerbit pada sesuatu karya. (terima kasih pada penerbit yang sudi memberi peluang kepada penulis baru). Nani kembali pada tujuan asal kenapa nani nak bukukan CD?. sebab nani nak tengok NOVEL CINTA DARMIA tersusun indah di kedai buku. Akhirnya nani putuskan untuk terima.

Saat nani ingin mengirimkan email, menyatakan persetujuan, nani telah di uji dengan berita yang menyentapkan segala keyakinan. Hampir saja nani kehilangan penerbit kerana mereka menyangka nani tidak berminat dan mengambil masa yang terlalu lama untuk berfikir . Waktu tu rasa kecewa sangat sebab nani dah memutuskan untuk menerima. Apa yang nani buat, nani berdoa,

"Ya Allah, jika benar ini adalah jalan untukku, maka kau berikan aku peluang kedua. Jika ini adalah sebaliknya, maka kau jauhkanlah ia daripadaku
"

Inilah yang di namakan Rezeki Allah itu luas. Ada di mana-mana. dan tidak di duga hari ini nani dapat email daripada penerbit, yang mengatakan mereka sudah bersedia menerbitkan CD. Cuma menunggu nani menandatangani perjanjian. Alhamdulillah. Nani beranggapan ini adalah petunjuk dari Allah. Kerana nani tidak dapat buat apa-apa lagi selain berdoa. Berharap Allah dapat tunjukkan jalan yang baik. Mak ada kata "kalau itu adalah rezeki kita, walau bagaimanapun ia tetap menjadi hak kita". maka nani pegang kata-kata mak.

Terima kasih juga pada sahabat setia nani dalam mencari peluang menerbitkan CD, IFFAH AFEEFAH, yang sentiasa memberi skongan dan semangat. dia kata "peminat-peminat kau dah lama tunggu CD, jangan kecewakan mereka"

Apa yang nani inginkan dari kalian semua, pembaca-pembaca diblog Desa Itu Indah dan Cinta Darmia adalah doa mudah-mudahan keputusan yang nani ambil ini betul dan nani akan menjadi penulis yang baik di masa akan datang. Doakan juga mudah-mudahan CD akan mendapat sambutan yang baik di kalangan peminat-peminat novel seluruh Malaysia. Bagi pembaca blog dari indonesia, brunei, singapura dll, harap tidak berkecil hati. terima kasih kerana sudi membaca di blog nani.

p/s : pandangan orang memang penting, tapi kita perlu ada pendirian. tanpa pendirian kita ibarat lalang. mengikut saja arah angin hingga mungkin kita bakal merasai kekesalan.

Monday, January 16, 2012

my boss my love 16

Hairannya aku tengok manusia di sekelilingku hari ini. Kenapa semua memandangku dengan wajah yang sukar ditafsirkan?. Siap bisik-bisik lagi. Pastu pandang-pandang akhbar pulak. Muka aku comot sangat ke? Pantas ku raba wajah. Rasanya okey je. Macam biasa.

“Assalamualaikum kak” Kak Su pun nampak terkejut bila di tegur.

“kenapa kak?” soalku.

“Lin tak baca paper hari ni?” aku geleng. Tak sempat nak baca. Bangun tidur terus bergegas datang kerja. Belum sempat meneliti mana-mana akhbar.

“Nah” Kak Su hulurkan akhbar Metro kepadaku. Apa yang menarik sangat dalam akhbar ni. Hairan betul. Aku belek satu persatu. Dan akhirnya mataku tertancap pada satu tajuk. Misteri Miss S terbongkar. Bulat mataku memandang tajuk akhbar. Kemudian mataku beralih kepada beberapa keping gambarku bersama Tengku Badriah. Apa dah jadi ni. Terus aku baca. Terasa mendidih darah dengan isi kandungan berita. Aku dah tahu siapa punya kerja. Dasar manusia busuk hati. Terus akhar ditangan ku hempas kuat ke meja. Sakit hati. Kak Su terkejut

“Ruby dengan Fitri mana kak?” soalku tiba-tiba.

“belum sampai” tergagp-gagap kak Su menjawab. Agaknya cuak melihat wajah begangku. Belum sempat aku bersuara dua ekor makhluk tu muncul. Amboi bukan main lawa lagi bergaya. Mengalahkan artis. Ni mesti gara-gara nak tunggu wartawan dating menyerbu. Aku peduli apa. Muka tembok

“hoi, manusia busuk hati” semburku. Ruby dan Fitri hanya tersenyum. Aku dah agak mesti diorang yang buat.

“apa masalah kau dengan aku hah?. Apa yang kau dapat buat aku macam ni?” hamburku lagi.

“apa ni pagi-pagi dah bising. Kau nak tahu apa yang kitaorang dapat?. Kitaorang dapat duit” Ruby ketawa ala-ala Pontianak.

“kurang ajar” aku ingin menampar wajah perempuan tak tahu malu tu. Namun pantas tanganku di halang. Siapa lagi yang nak haling kalau bukan lelaki dayus tu.

“jangan kau berani nak tampar dia” marah Fitri.

“kenapa? Korang ni selayaknya kena tampar. Sorang betina gatal, sorang lagi jantan dayus” amik kau. Jangan cabar aku. Pangggg!!! Pipi rasa perit. Mencerlung tajam wajah Fitri. Tahu pulak dia marah.

“Fitri!!!” Kak Su yang dari tadi hanya memerhati terus mendapatkanku.

“padan muka. Memang patut pun kena tampar” ucap Ruby. Aku masih lagi berani menentang kedua-dua wajah yang menyakitkan itu.

“Kau ingat Tengku Hairil tu nak ke kat kau? Kau hanya tahu bermimpi. Dia tak buta untuk pilih kau. Kau yang perangkap dia kan? ” sambung Ruby.

“aku tak faham betul. Apa hubungan kau dengan Tengku Hairil tu sampai kau nak bela dia sangat ni? Siapa yang dia suka pun apa kaitan dengan korang? Kalau dia suka aku pun apa masalahnya? Kau cemburu?” bidasku geram. Entah apa yang di gilakan sangat dengan tengku hairil tu. Terkulat dua ekor tu nak jawab.

“Lin” aku tersentak. Suara itu. Pantas ku pandang ke pintu kedai yang terbuka. Tengku Hairil terpacak di situ. Semua terkedu.

“Teng…ku” Fitri bersuara. Gagap. Akhirnya dia muncul di depanku setelah berbulan menyepi. Bertambah segak dia sekarang semenjak mengambil alih tempat bonda.

“we need to talk” ucapnya menghampiri.

“saya tak nak. Tengku perlu bercakap dengan dua orang yang tak reti bahasa ni. Bukan saya” ucapku padanya. Sakit hati belum habis lagi.

“kenapa bibir you berdarah ni?” pantas Tengku Hairil tarik aku mengadapnya. Tangannya lantas menyentuh bibir. Time aku tengah marah nilah dia nak tunjuk caring melebih

“oucchh” baru terasa sakitnya. Aku tepis kasar tangannya. Gara-gara dialah punca semua ni.

“siapa buat?” soalnya. Aku lantas pandang Fitri. Tengku Hairil juga pandang ke arahnya. Serba-salah nampak muka, tahu takut.

“kau yang tampar dia?” soal Tengku Hairil.

“Aku…aku tak sengaja”

“Kau tahu dia siapa?” soal Tengku Hairil sambil merenung tajam wajah Fitri. Fitri geleng. Kepalanya menunduk.

“Dia bakal isteri aku” Kak Su dan Ruby pandang Tengku Hairil dengan riak tak percaya. Aku malas nak ambil serius. Memang dari dulu itulah ayatnya.

“last warning dari aku, sekali lagi kau sentuh dia, aku sumbat kau dalam penjara” amboi, kejamnya bunyi. Aku tersenyum kemenangan.

“Jom” Tengku Hairil tarik tangan aku. Sakitnya. Kuat betul mamat ni. Namun aku terus menurut. Mana boleh kantoi depan diorang. Berlagak macam betul je aku ni bakal isteri dia. Keluar je dari Restoren, kami terus di serbu wartawan.

“betul ke Masleen adalah setiausaha Tengku?”

“Jadi inilah dia Masleen. Gadis misteri tu?”

“Dah berapa lama Tengku bersama perempuan ni?” bermacam-macam soalan keluar. Aku pulak pening mendengarnya. Pantas aku menyorok dibelakang Tengku Hairil. Tidak mahu wajahku terus di snap sesuka hati. Tengku Hairil cool je menarik aku masuk ke keretanya. Terus dia memecut laju meninggalkan tempat itu. Dalam hati tak putus-putus aku berdoa agar takkan keluar cerita-cerita yang mengaibkan.

**************

“Dah puas merajuk?” soalan pertama yang keluar dari mulutnya.

“Bila pulak saya merajuk” aku menjeling. Suasana sunyi di atas bukit menenangkan jiwa yang sedang diamuk kemarahan. Lega sikit dapat tengok panorama menghijau awal pagi.

“yelah tu” balasnya. Aku pandang Tengku Hairil yang sedang bersandar di bonet kereta.

“Awak buat apa datang tempat kerja saya pagi-pagi? Awak kan dah tak sudi nak tengok muka saya?”

“kalau I kata you merajuk, you kata I perasan. Tak ubah-ubah perangai you kan” Tengku Hairil ketawa kecil. Aku mencebik. Mengata dulang paku serpih. Kata orang dia yang lebih.

“Saya nak balik” malas nak layan. Segera aku bergerak melintasinya namun cepat pulak tangannya menangkap lenganku.

“Apa ni? Tangan tu kalau tak sentuh orang tak boleh ke?” marahku lantas merentap kuat tangannya. Namun tak berjaya.

“I nak bincang sikit dengan you?”

“pasal gambar kat newspaper tu?” Tengku Hairil hanya memandang wajahku.

“tak ada apa yang nak dibincangkan. Senyapkan sahaja. Dua tiga bulan orang akan tutup juga mulut” balasku. Tak habis-habis dengan rajukku. Hai hati. Sudahlah.

“marry me”

“hah???”

“I said, marry me.”

“pandai pula awak minta cara baik ye. Saya ingatkan awak ni tahu malukan diri je” sinis ucapku.

“boleh tak kita tutup je cerita lama tu? You tahu tak benda ni boleh rosakkan reputasi syarikat kalau berlanjutan.”

“So, awak nak kahwin dengan saya sebab syarikat pulak kali ni” marahku. Ingatkan dah betul-betul ikhlas tadi.

“you ingat I akan terus merayu pada you untuk terima I?. I pun ada maruahlah Lin. Kalau bukan I fikirkan nama baik you dan syarikat I, I dah tak ada hati lagi nak kahwin dengan you” ingatkan dah insaf.

“So, buat apa you propose I. you kan, tahu jawapan I” sakitnya hati aku dengan mamat ni.

“Okey, Fine. Lepas ni kita tengok siapa yang rayu siapa. I takkan sesekali minta you kahwin dengan I lagi melainkan you datang merayu pada I”

“you cakap apa ni? Untuk apa I nak rayu pada lelaki yang dah jatuhkan maruah I.” balasku. Langsung tidak mahu mengalah. Tengku Hairil dah salah masa. Dia sedang menyiram minyak ke api yang marak. Ah, dua-dua ego. Tak nak langsung mengalah.

“youlah perempuan yang paling ego, paling sombong dan paling keras kepala yang pernah I jumpa. You ingat semua orang akan sanjung you kalau you macam ni?. Semua orang akan pergi dari you kalau perangai you tak berubah. Bila I fikir balik, lebih baik dulu I pilih Malissa. Sekurang-kurangnya dia hanya plastik bukannya perempuan ego terlebih macam you. I rasa I dah tak kenal Masleen. You totally different now” tajam mata Tengku Hairil merenungku. Aku melawan pandangannya. Tidak mahu kalah.

“you yang buat I jadi macam ni. You pun apa kurangnya dari I?”

“One day, I akan pastikan you datang merayu supaya I kahwin dengan you. wait and see” bisik Tengku Hairil. Lantas lenganku dilepaskan. Dia berlalu ke kereta. 'beranganlah kau.' getus ku

“naik. I ada banyak lagi urusan” ucapnya.

“I boleh balik sendirilah” pantas aku berjalan meninggalkan keretanya. Beberapa saat kemudian kereta Tengku Hairil memintasku. Kurang ajar. Dia betul-betul tinggalkan aku.

p/s : buat yg rindukan Tengku Hairil..... Tengku Hairil juga rindukan anda... hihihi... tapi mana semua pengomen menghilang ye??? xkan da merajuk??? :-).... janganlah merajuk.. nani memang xreti nak pujuk. hari ni nak kongsi lagi satu berita gembira.... tajuk CINTA DARMIA dah ditukarkan pada SETITIS KASIH DARMIA... insyaallah kalau tiara aral melintang, perjanjian akn ditandatangani segera. tolong doakan yang terbaik untuk nani k... luv u'll

Sunday, January 15, 2012

my boss my love 15



<!--[if gte mso 9]> Normal 0 false false false EN-US X-NONE X-NONE Pening kepala menyerang lagi. Mungkin semalam tidur lewat. Aku hanya duduk di ruang dapur. Kesian Atiqah yang bertungkus-lumus menyediakan makanan yang dipesan.

“Siapa yang buat kuew tiaw goreng ni?” tiba-tiba Kak Su muncul.

“saya” Atiqah bersuara.

“Patutlah dia jamah sikit je. Dia minta tukar. Dia nak Lin yang masakkan” ucap kak su. Aku kerut dahi. Pelik dengan pelanggan yang satu itu.

“Dia cakap macam tu?” Kak Su angguk.

“tapi Lin tak sihat la. Kepala ni rasa nak meletup. Boleh tak hari ni Lin nak off. Nanti Lin minta maaf kat dia” ucapku pada Kak Su.

“kenapa Lin datang kerja kalau dah tahu sakit. Ok, sekarang Lin balik. Tapi sebelum tu pergi jumpa dengan pelanggan kita tu ye. Meja no 12” aku angguk. Lantas ku atur kaki ke situ. Seorang lelaki segak duduk membelakangiku.

“maaf menganggu” ucapku perlahan. Dia berpaling. Aku melopong. Apa lagi yang dia nak.

“Lin” panggilnya.

“apa Tengku nak?” wajah tengku Idris ku pandang.

“papa datang makan”

“Maaf encik, ini tukang masak kami. Dia tak dapat masakkan kuew tiaw untuk encik sebab dia tak sihat” Kak Su datang menyampuk.

“Tak sihat? Lin ok tak? Kita pergi klinik ye” ucap tengku Idris. Tangannya yang ingin mendarat ke dahi kutepis. Kak Su tergaman, entah apalah yang di fikirkan. Mungkin lelaki separuh abad itu sugar daddynya. Ah lantaklah.

“Kak Su, Lin balik dulu” bergegas aku pergi. Tengku Idris mengejar.

“Lin, marilah papa hantarkan”

“tak payah”

“kalau apa-apa jadi macam mana? Lin tak sihat ni”

“dah 25 tahun saya jaga diri sendiri. Yang tengku nak menyibuk ni kenapa?”

“Lin, please listen to me. Papa sayangkan Lin”

“Sayang? Tinggalkan kami itu dimanakan sayang?” bentakku geram. Kepala terasa makin berat.

“papa salah. Papa tahu perbuatan papa takkan dapat di maafkan. Tapi papa nak Lin tahu, tak pernah sekalipun papa lupakan Lin dan mak”

“cukuplah. Saya tak nak dengar” serentak itu terasa tubuhku begitu ringan seperti di tiup angin. Duniaku gelap kini.

********************

Sayup-sayup terdengar ada suara yang bermain di telingaku. Aku cuba amati.

“Abang nak kita rujuk balik” suara garau kedengaran.

“Masa yang berlalu takkan dapat diundur. Maaf, saya tak nak hancurkan perkahwinan awak dengan Tengku Melur. Awak dah buat pilihan” itu suara mak. Kenapa suara mak sedih sangat. Mak cakap dengan siapa? Tengku Idris?

“Abang tak bahagia. Abang masih sayangkan Ana. Kita rujuk, k. Beri peluang abang dekati anak kita. Lin perlukan abang” bila masa aku perlukan dia?. Dari kecil hanya mak yang besarkan aku. Aku tak perlukan ayah. Namun aku masih menyepi. Mencuri dengar dengan lebih lanjut.

“Saya tak pernah larang awak dekati dia. Tapi awak sendiri yang abaikan tanggungjawab awak sebagai ayah. Dulu, waktu dia kecil, awak tak pernah nak datang melawat. Tak perlulah awak gunakan saya untuk dekati dia. Awak buatlah apa yang patut untuk pikat hati Lin. Pasal kita, saya rasa tak mungkin kita akan kembali seperti dulu. Lupakanlah perasaan sayang awak tu. Sebab dulu awak yang pilih untuk tinggalkan saya. Saya dah gembira hidup seperti sekarang.” Bagus mak. Jangan bagi peluang. Kalau dia dah pilih untuk pergi, tak perlu kita nak terima dia kembali. Ibarat memungut sisa di tepi jalan.

“mak…” aku buka mata perlahan. Terus mak merapati.

“Lin, ok tak?”

“Kita kat mana mak?”

“Hospital. Tadi Lin pengsan. Papa yang bawakan Lin ke sini” ucap Tengku idris.

“Lin nak balik mak.”

“Lin belum sihat”

“Lin nak duduk rumah. Lin tak nak makan budi sesiapa mak.”

“Papa, ayah Lin. Lin darah daging papa. Memang tanggungjawab papa buat semua ni”

“Terima kasih sajalah Tengku. Ayah saya dah lama mati.” Aku bangkit dari katil. Langkahku terasa lemah.

“Kita balik mak” pintaku.

“Lin tak payah risau. Nanti mak yang akan bayar bil hospital. Lin rehatlah kat sini dulu sampai doktor benarlah Lin balik” pujuk mak. Aku jadi lembut hati lihat wajah mak. Tengku Idris sudah terdiam. Aku kembali baring di katil. Tubuh terasa penat. Penat menanggung rasa sakit yang tidak mahu pergi. Anak mana yang tidak sakit hati jika hidupnya ibarat anak yatim sedangkan ayahnya bahagia bersama keluarga baru. Anak mana yang tidak sakit hati apabila sepanjang masa kecilnya menanti hadirnya insan bernama ayah. Tapi dimanakah dia?. Hati mana yang tak kecewa.

p/s : I da dpt surat perjanjian utk CD.... huhuhu.... hrp semuanya baik!!!!

Monday, January 9, 2012

Slot Pedoman : Sukarnya Membeli Hati



Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Bertemu lagi kita pada hari yang mulia ini dengan tajuk entry kali ini Sukarnya membeli hati. Hati adalah salah satu organ dalam badan manusia dan dalam bahasa arab ia disebut sebagai qalbun. Hati seringkali kita kaitkan dengan perasaan dan emosi. Dari mana datangnya sayang? Dari mata turun ke hati.

Apa sebenarnya kaitan membeli dengan hati? Bukan beli hati lembu atau ayam di pasar tetapi membeli sekeping hati manusia yang bergelar sahabat. Allah menciptakan manusia itu berbeza-beza termasuklah hatinya. Ketika saya menulis coretan ini, hati saya terasa sedih dan tertekan kerana saya penat memendam perasaan di dalam hati. Bak kata pepatah, ingin luah mati mak, kalau telan mati bapa. Serba-salah itu yang setepatnya.

Apa yang menyebabkan saya serba-salah? Kerana sebahagian hati saya mengatakan saya telah menyebabkan seseorang sakit hati dan sebahagian lagi mengatakan seseorang itu tiada hak untuk merasa begitu. Jika saya fikirkan secara rasional dan tidak melibatkan pandangan orang, seharusnya kita manusia ini perlu hidup bermasyarakat bukan berkelompok pada orang tertentu sahaja. Itu boleh menyebabkan fikiran kita tidak mampu berkembang dengan baik dan hati kita juga sentiasa risau jika kita kehilangan orang-orang dalam kelompok itu.


Saya faham dalam sesuatu hubungan perasaan cemburu selalu wujud. Bukan hanya hubungan berlainan jenis iaitu hubungan cinta bah kan hubungan persahabatan juga ada. Tetapi perlu kita ingat, rasa cemburu itu perlu kita letakkan di tempat yang sepatutnya. Contohnya, Patut ke seorang sahabat tidak membenarkan sahabatnya berkawan dengan orang lain kerana cemburu?. Patut ke seorang sahabat menarik muka dengan kawan sahabatnya kerana cemburu? Saya rasa anda ada jawapan anda sendiri untuk soalan ini.

Jika ditanya kepada saya mengenai hal ini, saya ingin mengatakan, seorang sahabat bukan milik mutlak sahabatnya seorang sahaja. Dia berhak berkawan dengan sesiapa sahaja yang disukai dan sebagai sahabat kita TIADA HAK untuk menghalang. Kerana kita bukanlah sesiapa. Malah apa salahnya jika kita bina hubungan baik dengan kawan sahabat kita. Bukankah itu lebih baik daripada kita mengguris perasaan orang lain.

Saya menulis coretan ini bukan ingin mengatakan saya benar dan seorang yang rasional tetapi sekadar ingin berkongsi rasa hati dengan pembaca serta menyedarkan sesetengah orang yang sentiasa berfikiran untuk sentiasa memiliki. Saya bukanlah insan yang Allah jadikan cukup sempurna. Dia jadikan saya dengan sedikit kelemahan agar saya sentiasa sedar bahawa saya memerlukanNya dan insan lain untuk menyempurnakan kelemahan itu. Kelemahan saya adalah saya tidak mampu berbicara secara bersemuka untuk menyelesaikan masalah tetapi Dia juga mengurniakan saya kelebihan iaitu menulis. Dengan kelebihan ini saya berharap saya dapat mengatasi kelemahan yang ada. Mudah-mudahan ada yang sudi mengambil ikhtibar dari penulisan saya.

Memang sukar untuk membeli hati kerana hati hanya milik yang berhak. Jangan kita sentiasa berfikir untuk membeli sekeping hati milik seseorang saja tetapi berusahalah untuk menjaga hati orang lain juga. Insyaallah tuhan akan membantu kita mengekal hubungan yang baik dalam kehidupan.

“Ketahuilah, sesungguhnya di dalam tubuh ada seketul daging yang kalau dia baik maka akan baik pula seluruh anggota tubuh, dan kalau dia rosak maka akan rosak pula seluruh anggota tubuh, ketahuilah ia adalah hati.”

Sekian, wassalam