THANK YOU

Friday, February 26, 2010

ATUK

Hadi masih duduk di bangku perhentian bas. Dia termenung di situ sambil memerhatikan kedai makan Pak Long. Kelihatan Pak Long sedang menjamu selera. Hari ini tidak ramai orang ke kedai makan Pak Long. Pak Long berniaga mee sup. Sudah lama Pak Long berniaga di situ. Setiap kali musim cuti sekolah, Hadi mesti pulang ke kampung. Dia seronok di rumah Pak Long. Pak Long dan keluarganya sangat ramah dengan Hadi. Mama dan papa sibuk bekerja mencari wang di bandar. Hadi sunyi dan bosan keseorangan di rumah. Hadi sudah muak menonton televisyen, bermain video game atau melayari internet. Mama dan papa langsung tiada masa untuk Hadi. Oleh itu Hadi mengambil keputusan untuk pulang ke kampung. Di kampung boleh jugak Hadi menolong Pak Long berniaga. Hadi rajin menolong Pak Long di kedai. Walaupun kedai Pak Long kecil namun ramai yang meminati mee sup buatan Pak Long. Sedap. Ting!!!. Hadi tersentak dari lamunannya. Tin minuman yang tadi berada di sebelahnya sudah tergolek di bawah bangku. Mata Hadi melilau-lilau melihat kawasan sekitar. Tiba-tiba mata Hadi terhenti pada sesusuk tubuh tua yang sedang menyapu sampah. Terbongkok-bongkok lelaki tua itu menyapu.
“Kesiannya atuk tu” bisik hati Hadi. Lelaki tua itu nampak sebaya dengan Tok Wan, jiran Pak Long. Tok Wan sudah berusia 65 tahun. Tok Wan sudah uzur. Sudah tidak larat untuk bangun. Tok Wan beruntung kerana anak-anak Tok Wan menjaga Tok Wan dengan baik. Makan minum Tok Wan disediakan. Ada anak Tok Wan yang bercuti lama semata-mata mahu menjaga Tok Wan.
“Ah jauh benar aku mengelamun”. Desis hati Hadi. Hadi kembali melihat lelaki tua itu. Lelaki tua itu masih terbongkok-bongkok mengayunkan penyapu di tangannya. Penyedok bewarna merah digenggam kemas pada tangan kiri. Orang ramai hanya memandang. Ada juga mencebik memandangnya. Mereka tidak suka kehadirannya di situ. Mungkin kerana pakaiannya yang lusuh dan buruk. Tapi lelaki tua itu langsung tidak mengendahkan pandangan orang. Dia tetap meneruskan tugasnya. Tiba-tiba Pak Long memanggil Hadi. Kedai makan Pak Long mula penuh kembali. Rupanya jam sudah menunjukkan pukul 12 tengah hari. Ramai pekerja yang datang untuk menikmati makanan tengahhari. Hadi terus melangkah menghampiri kedai makan Pak Long. Matanya masih tidak lepas memandang lelaki tua tadi.
Hadi menolong Pak Long menghidangkan mee sup kepada pelanggang. Pelanggang mula berkurangan ketika jarum jam sudah menunjukkan ke angka 2 petang. Terasa lenguh kaki dan tangan Hadi. Hadi kembali duduk di bangku tadi. Matanya tercari-cari kelibat lelaki tua tadi. Sudah tiada di tempat tadi.
“Kemana dia pergi?” Bisik hati Hadi. Tiba-tiba mata Hadi terhenti di sebuah pondok kecil di kawasan lapang bersebelahan dengan hentian bas. Rumah Hadi berkali ganda besar dari pondok buruk itu. Kawasan lapang itu akan di bangunkan oleh kerajaan nanti. Dulu di situ semak-samun. Itulah kata Pak Long bila Hadi bertanya. Lelaki tua itu sedang menjamu selera. Hanya sebungkus roti ada di tangannya. Lelaki tua itu mengunyah perlahan. Kadang-kadang dia meneguk air mineral di dalam botol. Kasihan Hadi melihat keadaannya. Tubuh tuanya disandar pada pintu. Lelaki tua itu memandang kosong ke hadapan. Entah apa yang sedang difikirkan. Hadi melangkah ke kedai makan Pak Long.
“Pak Long, Hadi nak semangkuk mee sup boleh?”pinta Hadi.
“Hadi lapar lagi?” soal Pak Long. Baru sekejap tadi Hadi makan.
“Hadi nak bagi kat orang tu” Hadi berterus-terang dengan Pak Long. Hadi menuding jarinya kearah lelaki tua yang berada di pondok buruk itu. Pak long tersenyum. Bangga dia dengan Hadi yang baik hati. Pak Long menghulurkan semangkuk mee sup kepada Hadi. Selepas mengucapkan terima kasih, Hadi terus merapati pondok kecil yang terletak tidak jauh dari perhentian bas. Hanya beberapa meter dari perhentian bas. Hadi tersenyum memandang lelaki tua yang memandangnya hairan. “Atuk, ni Hadi bawa mee sup untuk atuk”ucap Hadi perlahan. Berhati-hati dia berkata-kata. Bimbang lelaki tua itu marah. Lelaki tua itu diam. Langsung tidak bersuara. Hadi meletakkan mee sup di depan lelaki tua itu.
“Atuk makanlah. Pak Long Hadi bagi,”ucap Hadi. Hadi ternanti-nanti bicara lelaki tua itu. Tapi lelaki tua itu tetap diam. Matanya tidak lepas memandang wajah Hadi. Ada kesedihan di mata tua itu. Tapi dia tetap diam. Hadi serba-salah.
“Hadi pergi dulu”ujar Hadi. Dia melangkah perlahan. Dia berharap agar lelaki tua itu memanggilnya. Tapi lelaki tua itu tetap membisu. Hadi terus berlalu ke bangku tempat dia melepaskan lelah. Hadi melepaskan pandangannya ke pondok kecil tadi. Hadi tersenyum. Lelaki tua itu sedang menjamu selera dengan mee sup yang dihantar oleh Hadi tadi. Leka lelaki tua itu merasai keenakan mee sup Pak Long. Sesekali lelaki tua itu menyapu matanya. Mungkin rasa terharu hingga menitiskan airmata atau mungkin juga matanya di masuki habuk. Fikir Hadi. Hadi lega kerana lelaki tua itu tidak menolak pemberiaannya


Hari ini, Hadi termenung seperti biasa di bangku. Hadi tidak bosan melihat lelaki tua itu menyapu. Hari ini dia menghantar mee sup Pak Long sekali lagi. Ada senyuman terukir di bibir tua itu. Hadi membalas senyumannya.
“Terima kasih, Hadi” ucap lelaki tua itu.
“Atuk kenal Hadi?” soal Hadi hairan. Lelaki tua itu tersenyum.
“Marilah duduk sini” lelaki tua itu mempelawa. Di tepuk perlahan lantai pondoknya. Hadi menurut.
“siapa nama atuk”soal Hadi.
“Orang panggil atuk, Pak Ali” ujar lelaki tua itu.
“atuk tak pernah pun nampak Hadi selama ni” ujar lelaki tua itu membuka topik. “Hadi tinggal kat Kuala Lumpur. Kalau cuti Hadi datang sini tolong Pak Long berniaga” ujar Hadi petah. Ramah Hadi berbicara.
“Atuk tinggal sorang?”soal Hadi. Lelaki tua itu angguk bersama senyuman. “isteri atuk?”soal Hadi lagi. “isteri atuk dah lama meninggal dunia. Dah hampir 25 tahun.”cerita lelaki tua itu.
“Atuk tak ada anak?”soal Hadi lagi.
“ada” ringkas jawapan lelaki tua itu. Wajahnya berubah mendung. Senyuman yang terukir mula menjauh dari wajah tuanya.
“mana anak-anak atuk?” Hadi masih ingin menyoal. Sejak semalam dia tertanya-tanya soalan-soalan itu. Lelaki tua itu diam. Tidak menjawab soalan Hadi. Mata lelaki tua itu berkaca-kaca. Ada air yang bertakung di mata tua itu. Entah kenapa lelaki tua itu begitu sedih.
“Hadi minta maaf” ujar Hadi perlahan. Hadi berasa bersalah. Mungkin soalannya membuatkan lelaki tua disebelahnya sedih.
“Anak-anak atuk ada kat luar negara.”ujar lelaki tua itu. Hadi pandang lelaki tua itu. “pak cik ada empat orang anak. Semua lelaki.”cerita lelaki tua itu. Sesekali dia menyeka airmatanya agar tidak mengalir keluar. “Semua berjaya dalam pelajaran. Semua ada kerja yang bagus. Mereka kahwin dengan orang sana. Dah 15 tahun tak balik. Langsung tak ada khabar berita”cerita lelaki tua itu lagi. Lama lelaki tua itu diam.
“mesti cucu atuk ada yang sebaya dengan Hadi”ujar lelaki tua itu tiba-tiba. Ada senyuman terukir di bibir tua itu.
“atuk pernah jumpa cucu atuk?”soal Hadi.
“pernah. Sekali. Waktu tu cucu atuk kecil lagi. Baru 2 tahun. tu pun dah lama. Dah besar agaknya cucu atuk tu.”ujar lelaki tua itu lagi. Hadi membuang pandangan ke kedai makan Pak Long. Sudah ramai rupanya pelanggang Pak Long.
“Hadi kena pergi tolong Pak Long. Lain kali Hadi datang lagi”ujar Hadi perlahan. Kalau ikutkan hati Hadi masih mahu mendengar cerita lelaki tua itu tapi kesian Pak Long nanti. Pantas Hadi mengcapai tangan tua itu. Dicium plhn tangan itu tanda menghormati lelaki tua itu. Lelaki tua itu agak terkejut. Lelaki tua itu mengusap perlahan kepala Hadi.
“Hadi pergi dulu atuk”Hadi berlari-lari anak ke kedai Pak Long yang mula penuh \dengan pelanggang. Pak Long tersenyum memandang Hadi yang berlari anak menuju ke kedai makannya. Nasib baik ada Hadi. Anak saudaranya itu begitu rajin menolongnya di musim cuti sekolah. walaupun baru berusia 12 tahun, Hadi sudah pandai berdikari. Anak-anak Pak Long begitu liat untuk datang menolong. Mereka lebih suka duduk di rumah atau keluar bersama teman-teman. Jarang sekali anak-anaknya datang menolong.

“Atuk” dari jauh Hadi melambai-lambai tangan kecilnya sambil memanggil nama lelaki tua yang sedang termenung di muka pintu pondoknya. Lelaki tua itu tersenyum memandang Hadi.
“Hadi tak pulang lagi?” soal lelaki tua itu. Hadi geleng kepala. Di pandang jam di pergelangan tangan. Masih ada dua jam lagi sebelum Pak Long tutup kedai makannya.
“Atuk,”panggil Hadi perlahan.
“ada apa Hadi?”lelaki tua pandang wajah comel Hadi.
“Boleh Hadi tanya sikit?”soal Hadi.
“Boleh. Tanyalah.”ujur lelaki tua itu lagi. Tidak jemu dia melayan karenah Hadi yang sudah dianggap seperti cucunya.
“Kenapa anak-anak atuk tak jaga atuk?”soal Hadi. Wajah manis lelaki tua itu berubah menjadi kelat. Ada riak duka di wajahnya.
“Mereka dah lupakan atuk, Hadi. Mereka lupa yang tangan ni lah yang besarkan mereka. Tangan ni juga berpenat lelah mencari rezeki supaya mereka tak kelaparan. Atuk bagi mereka pelajaran supaya mereka tak hidup susah macam atuk. Tapi mereka lupakan atuk bila dah berjaya. Ini balasan mereka pada atuk,” ada air jernih mengalir perlahan membasahi pipi yang berkedut itu. Lelaki itu sudah tidak mampu menahan airmatanya dari tumpah membasahi pipi tuanya. Dia gagal mengawal emosinya. Dia tidak berdaya menyimpan luka itu lagi. Dia sebak mengenangkan sikap anak-anaknya. Entah di mana silapnya didikan yang diberi sehingga anak-anaknya meninggalkannya seorang diri tanpa khabar berita. Dia sanggup berlapar untuk mengisi perut anak-anaknya. Dia sanggup bekerja siang dan malam untuk menyekolahkan anak-anaknya. Dia tidak mahu anaknya bersusah-payah mencari rezeki sepertinya.
“Atuk kecewa dengan mereka, Hadi. Mereka tak mengenag budi.”sambung lelaki tua itu lagi. Hadi peluk tubuh lelaki tua itu. Hanya itu yang mampu dibuat. Tidak lama kemudian Hadi meleraikan pelukannya.
“Hadi, janji dengan atuk boleh?” soal lelaki tua itu. Hadi angguk.
“Bila Hadi dah berjaya nanti, jangan lupakan mak dan ayah Hadi. Walau kemana pun Hadi pergi. Walau sekaya mana Hadi nanti. Janji dengan atuk ye,”ucap lelaki tua itu sambil memandang wajah Hadi. Perlahan Hadi angguk.
“Hadi janji, atuk,”ucap hadi. Di hati, Hadi sudah berikrar walaupun mama dan papa tidak banyak habiskan masa bersama Hadi, Hadi tetap akan jaga mereka bila mereka sudah tua.
“atuk sayang Hadi,” ujar lelaki tua itu memeluk erat tubuh kecil Hadi. Hadi terpinga-pinga. Namun dia tetap membalas pelukan lelaki tua itu.
“Hadi pun sayang atuk. Atuk anggaplah Hadi ni cucu atuk.” ucap Hadi.
“Terima kasih,Hadi” ucap lelaki tua itu. Hangat pelukan Hadi memberi kebahagian yang sudah lama didambakan oleh lelaki tua itu. Dia bersyukur pada tuhan kerana menemukan dia dengan kanak-kanak sebaik Hadi.

Hadi mendongok ke dada langit. Awan hitam sudah mula menampakkan bayang. Hari hendak hujan. Hari sudah petang.Namun kenderaan masih banyak di jalan raya. Hadi masih duduk di bangku memerhati lelaki tua itu menyapu sampah. Sesekali dia membalas senyuman lelaki tua itu.
“Hadi!”panggil Pak Long dari kedai makannya. Hadi menoleh. Pak Long melambai-lambaikan tangannya menyuruh Hadi datang kepadanya. Hadi terus menurut.
“Hadi tolong pergi beli buah oren kat sana. Boleh?” soal Pak Long. Hadi angguk. Diambil duit yang di hulurkan Pak Long. Hadi berjalan perlahan ke gerai di seberang jalan. Ketika Hadi ingin membayar harga buah oren, tiba-tiba telinganya menangkap bunyi yang kuat dari belakang. Bunyi itu datang dari jalan raya yang sesak. Hadi menoleh. Orang ramai mula mengerumuni tempat itu. Ada kemalangan berlaku. Hujan mula turun membasahi bumi.
“Tukang sapu tu,” Hadi terdengar suara berbisik-bisik. Hadi berasa tidak sedap hati. Pantas dia menghampiri tempat kejadian. Matanya terpaku pada tubuh tua yang terbaring di atas jalan raya. Ada darah yang mengalir dari mulut, hidung dan kepala lelaki tua itu. Darah itu mengalir membasahi jalan.
“Atuk!!!” jerit Hadi kuat. Pantas Hadi peluk tubuh tua di depannya.
“Atuk, bangun”Hadi goyang-goyang tubuh tua itu. Tubuh tua itu terasa sejuk. Mata tua itu memandang Hadi. Ada air jernih mengalir di pipinya. Bibirnya bergetar. Lelaki tua itu hendak menyatakan sesuatu. Hadi dekatkan telinganya ke bibir lelaki tua itu. “Atuk sayang Hadi” perlahan kata-kata itu menyapa telinga Hadi. Itulah kata-kata terakhir sebelum lelaki tua itu memejam mata tuanya untuk selama-lamanya. Perginya tidak akan kembali lagi. Akhirnya bernoktah jua duka di hatinya.
“Atuk....” Hadi menangis di sisi lelaki tua itu. Airmata Hadi laju mengalir membasahi pipi selebat hujan yang berlumba-lumba membasahi tubuh Hadi dan tubuh tua yang terbaring kaku di pangkuan Hadi.

Haruman bunga kemboja menghiasi kesuraman suasana di perkuburan itu. Hadi tutup naskah surah yasin yang baru selesai dibaca.
“Atuk, Hadi balik dulu” ujar Hadi pada dua batu nisan yang berdiri kaku. Air mata yang mengalir di pipinya di sapu perlahan. Perlahan Hadi melangkah meninggalkan pusara lelaki tua itu. Di luar pagar kubur, mama dan papa sudah menunggu untuk membawa Hadi pulang ke Kuala Lumpur.
“Hadi tak akan lupakan atuk. Kenangan bersama atuk akan sentiasa Hadi ingat. Hadi janji akan jaga mama dan papa bila Hadi dah besar nanti. Hadi pun sayang atuk. ” bisik hati Hadi sepanjang langkah meninggalkan pusara itu.

p/s : karya ini ku tulis sbg assgmntku. walaupun jalan ceritanya agak ringan tetapi yg penting adalah nilai yang ingin di terapkan. sayangilah ibu bapa anda selagi dia masih bernafas. jika sudah tiada mana akan dicari gantinya lagi...

timang-timang anakku sayang...
sampai masa ayah kau tinggalkan..

timang-timang anakku sayang....
sampai waktu ibu kau biarkan...